Subscribe:

Selasa, 20 Disember 2011

Ucapan Presiden PENA sempena Majlis Makan Malam 50 Tahun PENA


Teks Ucapan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Mohamad Saleeh Rahamad
Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pena dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional III bersama Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.

Bertempat di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada 16 Disember 2011, 8:30 Malam

***
Bismillahirrahmanirrahim
YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia
Yang berhormat Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan Negara Malaysia
Yang Berusaha Encik Khair bin Ngadiron, Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) merangkap Pengerusi Bersama Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional III
Yang Berusaha Encik Muhammad Lutfi Ishak, Pengarah Perhimpunan Penulis Muda Nasional III
Pemimpin-pemimpin PENA yang terdahulu
Sasterawan-Sasterawan Negara
Dif-dif kehormat
Wakil-wakil penaja
Barisan Jawatankuasa Penganjuran Majlis ini
Para penulis tanah air yang diraikan
Serta sekalian hadirin yang dikasihi
Assalamualaikum WRT

Alhamdulillah, kita telah diberi kesempatan untuk bersama-sama pada malam yang berbahagia ini, malam yang mempertemukan sasterawan daripada pelbagai peringkat generasi amnya dan penulis daripada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) khususnya. Sesungguhnya kebahagiaan ini sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Berucap di pentas ini merupakan detik bersejarah bagi saya khususnya dan PENA amnya. Ini merupakan pengalaman hebat dan luar biasa biarpun sukar untuk dilaksanakan.

Tidak pernah saya terduga untuk dipilih oleh Allah SWT menguruskan suatu majlis yang sebegini besar dan penuh makna. Dalam tempoh 50 tahun PENA menyusuri sungai sejarah persuratan tanah air, sejak tahun 1961, tiba-tiba waktu keraian menyambut ulang tahun ke-50 muncul ketika saya dan rakan-rakan menerajui badan penulis ini. 

Takdir ini kami sambut dengan penuh kesyukuran, namun tidak pula kami mahu mengaku sebagai pencetus kejayaan mengadakan majlis ini. Kami hanya terpilih untuk memikul segala tanggungjawab dan risiko termasuklah kelemahan dan kekurangan yang terdapat dalam majlis ini. Takdir telah menentukan bahawa ketika kami menguruskan PENA tibalah detik usia jubli emasnya. 

Dengan keupayaan dan kemampuan yang terlalu kecil, tanpa modal atau saham, tanpa harta untuk dicagarkan, PENA tidak pernah berhasrat untuk menganjurkan majlis yang sebegini besar. Kami hanyalah sebuah persatuan penulis yang tidak memiliki pendapatan terjamin, tidak menerima sebarang dana bantuan secara tekal, malahan yuran ahli sebanyak RM10 setahun pun tidak terkumpul dengan sempurna. Rumah kerajaan yang kami duduki sebagai pinjaman sangat indah tetapi usianya yang mungkin sudah menghampiri 100 tahun cukup untuk menanti waktu rebahnya. Tidak perlulah saya panjangkan cerita kedaifan kerana penulis sememangnya tidak boleh mati dengan kedaifan; penulis sentiasa hidup bersemangat kerana kami mempunyai satu upaya tersendiri yang memperkukuh kewujudan diri, iaitu mimpi.

Dengan mimpi itulah kami yakin akan dapat menganjurkan majlis sambutan gilang-gemilang pada malam ini. Dengan mimpilah juga kami dapat menghimpunkan penulis dan pelbagai pihak untuk bertemu dengan YAB Perdana Menteri. 

Bermula dengan mimpi besar kami tetapi dengan keupayaan yang kecil, akhirnya majlis yang besar ini dapat dilangsungkan. 
Sebenarnya majlis ini menjadi besar kerana sokongan dan bantuan pelbagai pihak. Pertamanya tentulah saya sangat bersyukur kepada Allah SWT yang mengizinkan dan memudahkan kerja penganjuran majlis ini. Kita sebagai makhluk tiada daya sama sekali tanpa izin-Nya. Kita hanya merancang, dan Allah juga merancang. Sesungguhnya perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Detik pada malam ini menunjukkan betapa Allah memberikan rahmat-Nya yang wajib kita syukuri.

Kedua, bagi pihak PENA dan rakan penganjur majlis ini, iaitu Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang diwakili oleh Pengarah Urusannya Encik Mohd Khair Ngadiron, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib yang sudi meluangkan masanya untuk hadir dan seterusnya menyempurnakan perasmian majlis serta beberapa upacara yang telah disusun. 
Dalam sejarah PENA inilah kali pertama Perdana Menteri hadir ke majlis anjurannya. Terasa betapa besar hikmah daripada kegagalan kami sebelum ini untuk bersama-sama pimpinan negara. Oleh itu, saya pohon hadirin sekalian memberikan tepukan bergemuruh kepada Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib.

Y.A.B. Dato’ Sri dan hadirin yang dihormati,
Saya yakin kehadiran YAB Dato’ Sri akan memberikan kesan yang besar, bukan sahaja kepada PENA, malahan kepada seluruh warga penulis tanah air dan dunia kesusasteraan. Dengan sendirinya kewujudan penulis di negara ini akan terserlah dan disedari oleh segenap lapisan masyarakat. Besar harapan kami selepas ini golongan penulis dan kesusasteraan kebangsan tidak lagi terpinggir dan dipinggirkan sebagai entiti yang kononnya tidak menyumbang kepada pembinaan negara.

Dalam situasi semasa, kedudukan penulis atau sasterawan sering diperlekeh, dipandang rendah dan tidak penting bagi pembangunan negara kerana kononnya sastera bermain dengan dunia mimpi di gelanggang bahasa dan tidak mendatangkan keuntungan material. Persepsi negatif itu bukan sahaja wujud pada sudut pandangan sebahagian besar golongan kapitalis, birokrat, teknokrat, ahli politik, malahan lebih memilukan turut diwarisi oleh pengurus sistem pendidikan di negara ini. Akibatnya, kesusasteraan dipinggirkan, disenyapkan, dibisukan, terutama di sekolah sehingga akhirnya masyarakat awam turut terpengaruh untuk percaya bahawa kesusasteraan tidak penting bagi kehidupan anak mereka.

Sebenarnya kesusasteraan bukan sahaja menterjemahkan perasaan dan imaginasi serta kreativiti penulis untuk hiburan semata-mata, bahkan yang lebih penting kesusasteraan mempunyai keupayaan sebagai alat untuk membina karakter bangsa, mengukuhkan ideologi, dan memartabatkan sesebuah peradaban. Kesusasteraan menjadi tenaga hegemoni untuk mengabsahkan ideologi tertentu kepada masyarakatnya.

Sejak sekian lama hasil kesusasteraan telah membina pemikiran dan budaya sesebuah masyarakat sehingga terbentuklah suatu rupa peradaban yang tersendiri. Sebagai contoh, teks sastera agung Melayu, iaitu Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah secara halus dan hegemonik telah mendidik masyarakat Melayu berabad untuk berfikir dalam kerangka yang dianjurkannya, sama ada secara menyetujuinya mahupun menyanggahnya. Konsep daulat dan derhaka, setia dan patriotik yang tersisip dalam kedua-dua teks tersebut telah berakar dalam pemikiran orang Melayu. Tanpa sebarang tekanan bercorak ketenteraan atau kepolisan masyarakat Melayu sentiasa memikirkan aspek ini dalam tindakan mereka.

Demikian juga halnya dalam konteks kehidupan masa kini, hasil kesusasteraan mampu membentuk pemikiran masyarakat dengan syarat karya tersebut ditulis secara berkesan dan tersebar dengan meluas. Hal ini sangat disedari oleh pemimpin terdahulu, terutama ketika negara menempuh era baharu selepas berlakunya transformasi dan reformasi dalam perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar penting negara, yakni pada tahun 70-an.

Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak sangat akrab dengan dunia kesusasteraan dan ucapannya sering menimbulkan rangsangan baharu kepada perkembangan sastera. Beliau ketika itu berdepan dengan pelbagai tribulasi politik tetapi dengan bijaksananya beliau dapat melihat potensi yang wujud dalam ranah kesusasteraan. Dengan itu, galakan dalam pelbagai bentuk telah diberikannya termasuklah mengiktiraf Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan konsep kesusasteraan kebangsaan.
Era pembangunan pada dekad tersebut bukan sahaja digerakkan melalui Dasar Ekonomi Baharu yang praktis bahkan turut dijana oleh tenaga ideologikal, iaitu kesusasteraan. 

Hadirin sekalian,
Apabila saya memperkatakan hal ini saya tidak berniat untuk membuat perbandingan antara YAB Dato Sri Mohd Najib dengan Allahyarham Tun Abdul Razak, tetapi saya mahu menyatakan bahawa sekarang, selepas sekian lama menanti, kami yang berada dalam dunia sastera seolah-olah mendapat nafas semula untuk hidup. Kehadiran YAB Dato’ Sri ke majlis yang dianjurkan oleh orang sastera tidak lain tidak bukan mencerminkan keprihatinannya terhadap dunia sastera.

Kami berharap selepas ini kesusasteraan kebangsaan khususnya akan lebih diperhatikan dan dibawa masuk dalam agenda pembinaan negara bangsa. Kami memohon agar kerajaan dapat memberikan kedudukan yang sewajarnya kepada kesusasteraan dalam sistem pendidikan di negara ini. Tidaklah perlu kita berasa takut untuk menyisipkan dan menggandingkan kesusasteraan dengan bidang-bidang lain dalam perancangan pendidikan kita. 

Sebenarnya kesusasteraan bukanlah bandingan atau tandingan dengan bidang sains dan teknologi, ikhtisas dan sebagainya. Berikanlah tumpuan kepada bidang-bidang yang dirasakan perlu untuk kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat. Kami dalam dunia sastera tidak menolak semua itu. Cuma yang kami pinta, kesusasteraan juga jangan dipinggirkan. Kesusasteraan perlu diseiringkan dengan bidang lain. Kesusasteraan dengan sains dan teknologi tidak perlu dipisahkan atau dikotomikan tetapi kedua-duanya saling melengkapi.
Manusia yang diasak dengan ilmu praktis akan menjadi lebih manusiawi dengan bantuan kesusasteraan. Negara yang maju tidak akan terjejas jika kesusasteraan juga dimartabatkan, malahan negara yang maju dari segi pembangunan kebendaan akan lebih mantap jati dirinya apabila ada tenaga lain diserapkannya ke dalamnya. Tenaga lain itu wujud dalam kesusasteraan.
Kami yakin, kebijaksanaan kerajaan memperkenalkan pelbagai program transformasi sekarang tidak menyukarkannya untuk turut sama memikirkan kaedah transformasi juga dalam sistem pendidikan yang menerapkan kesusasteraan sebagai satu daripada pasak penting demi membina sebuah peradaban yang besar.

YAB Dato Sri dan hadirin yang dikasihi,
Selain menyambut ulang tahun ke-50 PENA majlis ini turut meraikan satu acara dwitahunan PENA yang sudah bermula sejak tahun 2005, iaitu Perhimpunan Penulis Muda Nasional. Perhimpunan ini mempertemukan penulis muda dari seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak. Mereka sentiasa datang dalam setiap acara yang kami adakan tanpa mendapat pembiayaan tambang. Malahan mereka terpaksa membayar sedikit yuran penyertaan bagi membantu kami meringankan kos operasi. Tidak seperti penganjuran acara lain yang lebih popular dan politikal, perhimpunan yang kami adakan ini berlangsung dengan cara yang tersendiri. 

Kehadiran penulis muda ini mencerminkan kejituan semangat mereka dalam perjuangan melestarikan kesusasteraan. Mereka akan berdialog, berwacana, dan menyuarakan pandangan serta merancang strategi untuk membangunkan negara dalam cara dan aspek yang tersendiri. Kami hanya memberikan ruang kepada mereka untuk bersuara dan dengan cara itu kami yakin potensi yang ada dalam diri anak muda ini akan dapat disuburkan dan kemudian akan tumbuh merendangi dan menaungi kehidupan masyarakat.

Kami telah mengadakan perhimpunan yang pertama pada tahun 2005 di Johor, yang kedua pada tahun 2009 di Melaka, dan kini yang ketiga. Dalam ketiga-tiga pertemuan itu telah dikeluarkan resolusi yang berkaitan dengan kebudayaan, kesusasteraan, pendidikan, dan kebahasaan. Resolusi itu jelmaan aspirasi orang muda tetapi muatannya bukanlah tentang kepentingan bagi orang muda semata-mata. Mereka telah memberikan fikiran yang bermutu untuk diperhatikan oleh kerajaan khususnya demi membangunkan negara ini sebagai sebuah ranah peradaban yang hebat.

Kami sangat berbesar hati kerana pada kali ini YAB Perdana Menteri telah menterjemahkan idea transformasinya dalam bentuk yang praktis, yakni dengan turun ke gelanggang orang muda. Percayalah, gelanggang orang muda ini sarat dengan ilmu dan kepercayaan yang sangat penting untuk negara.
 
Selepas ini terpulanglah kepada YAB Dato’ Sri untuk bercakap tentang apa sahaja kepada kami warga sastera amnya dan kepada penulis muda khususnya. Saya tidak mahu membuat ramalan apa-apa, tetapi dalam hati saya berkata: biarlah yang baik untuk dunia kesusasteraan kebangsaan demi kelangsungan generasi berperadaban.

Tema sambutan ulang tahun PENA ke-50 ialah “Penulis Penjana Transformasi Peradaban” dan tema bagi Perhimpunan Penulis Muda Nasional ialah “Pengukuhan Makna Diri Pengarang Muda”. Tema ini tidak kosong tetapi terisi aspirasi dan ideologi yang besar dan penting. Sama-samalah kita mentafsirkannya dengan akal yang jernih dan tanpa gangguan persepsi negatif.

YAB Dato Sri dan hadirin yang dihormati,
Lazimnya apabila sampai detik 50 tahun ini satu sambutan diadakan bagi tujuan menilai pencapaian, memuhasabah diri, merenung masa depan, serta tidak kurang juga menghargai sumbangan tokoh-tokoh yang terdahulu. Itulah juga yang cuba kami lakukan sempena sambutan 50 tahun PENA. Di samping menilai diri dan merancang strategi masa depan, buat julung-julung kalinya PENA dalam usianya 50 tahun ini mewujudkan satu anugerah yang dinamai Anugerah Tokoh PENA.

Tanpa menafikan sumbangan tokoh-tokoh lain, terutamanya mantan-mantan ketua satu PENA yang sebahagiannya hadir pada malam ini, kami telah memilih seorang tokoh untuk menerimanya, iaitu Datuk Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain. 
Kami yakin pemilihan Baha Zain adalah tepat. Beliau telah begitu lama bersama PENA tetapi hanya pada tahun 2008 bersedia memikul tanggungjawab sebagai presiden sehinggalah 2010. 

Biarpun tidak lagi memimpin PENA, kami sentiasa berdamping dengan beliau untuk meminta nasihat, dan beliau juga sentiasa ghairah untuk menghulurkan pandangan. Begitulah akrabnya Baha dengan PENA sehingga namanya sinonim dengan PENA. Kini, bagi kebanyakan orang yang mengikuti perkembangan PENA menyifatkan PENA ialah Baha Zain dan Baha Zain ialah PENA.

Walaupun hadiah yang mengiringi anugerah ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan anugerah dalam bidang sukan dan hiburan, muatan maknanya terlalu besar. Kami yang sangat terbatas kemampuannya ini hanya mampu memberikan sekadar yang termampu walaupun makna yang kami hamparkan setinggi Himalaya. Terima kasih sekali lagi kepada YAB Dato Sri Mohd Najib atas kesudiannya nanti menyampaikan anugerah tersebut.

Hadirin sekalian,
Rasanya cukuplah ucapan saya setakat ini kerana yang lebih dalam majlis ini ialah ucapan YAB Dato Sri Mohd Najib. Ucapan saya tidak akan ke mana-mana perginya. Sebelum saya mengundurkan diri saya ingin menyampaikan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada beberapa pihak yang telah bersama-sama membantu kami menjayakan majlis. Pertamanya tentu sahaja kepada YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana sudi hadir serta membesarkan majlis ini. Percayalah, sejarah ini terakam sampai bila-bila dalam ingatan warga sastera. Tetapi akan lebih diingati sekiranya YAB Dato Sri sudi memberikan sesuatu yang berharga kepada dunia kesusasteraan, ibarat pantun ini:

Daun terap atas bukit, 
Buat tudung buah pala;
Harap saya bukan sedikit,
Sama banyak rambut di kepala. 

Terima kasih tidak terhingga kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia, khususnya Encik Khair Ngadiron yang menjadi pasak utama dalam penganjuran majlis besar ini. Tanpa ITNM kami hanya dapat bermimpi agaknya untuk melihat peristiwa ini.
Kami juga sangat berterima kasih kepada Percetakan Nasional Malaysia Berhad yang telah memberikan penajaan termasuk mencetak tiga buah buku yang akan dilancarkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib sebentar lagi.

Pihak-pihak lain juga sangat kami hargai atas sumbangan mereka, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, penaja yang menghulurkan sumbangan, rakan media yang membuat liputan, orang perseorangan yang memberikan nasihat dan semangat, serta pihak-pihak lain yang terlalu banyak. Secara peribadi saya sangat berterima kasih kepada barisan jawatankuasa yang menjayakan majlis ini baik daripada warga PENA mahupun daripada warga Institut Terjemahan Negara Malaysia. Jasa semua pihak sentiasa terakam dan tumbuh membesar dalam hati.

Hanyut kayu dari bukit,
Dari gunung berkati-kati;
Segunung budi bukan sedikit,
Tidak tertanggung sampai ke mati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan