Selasa, 20 Disember 2011
Ucapan Presiden PENA sempena Majlis Makan Malam 50 Tahun PENA
Teks Ucapan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Mohamad Saleeh Rahamad
Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pena dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional III bersama Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.
Bertempat di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada 16 Disember 2011, 8:30 Malam
***
Bismillahirrahmanirrahim
YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia
Yang berhormat Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan Negara Malaysia
Yang Berusaha Encik Khair bin Ngadiron, Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) merangkap Pengerusi Bersama Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional III
Yang Berusaha Encik Muhammad Lutfi Ishak, Pengarah Perhimpunan Penulis Muda Nasional III
Pemimpin-pemimpin PENA yang terdahulu
Sasterawan-Sasterawan Negara
Dif-dif kehormat
Wakil-wakil penaja
Barisan Jawatankuasa Penganjuran Majlis ini
Para penulis tanah air yang diraikan
Serta sekalian hadirin yang dikasihi
Assalamualaikum WRT
Alhamdulillah, kita telah diberi kesempatan untuk bersama-sama pada malam yang berbahagia ini, malam yang mempertemukan sasterawan daripada pelbagai peringkat generasi amnya dan penulis daripada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) khususnya. Sesungguhnya kebahagiaan ini sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Berucap di pentas ini merupakan detik bersejarah bagi saya khususnya dan PENA amnya. Ini merupakan pengalaman hebat dan luar biasa biarpun sukar untuk dilaksanakan.
Tidak pernah saya terduga untuk dipilih oleh Allah SWT menguruskan suatu majlis yang sebegini besar dan penuh makna. Dalam tempoh 50 tahun PENA menyusuri sungai sejarah persuratan tanah air, sejak tahun 1961, tiba-tiba waktu keraian menyambut ulang tahun ke-50 muncul ketika saya dan rakan-rakan menerajui badan penulis ini.
Takdir ini kami sambut dengan penuh kesyukuran, namun tidak pula kami mahu mengaku sebagai pencetus kejayaan mengadakan majlis ini. Kami hanya terpilih untuk memikul segala tanggungjawab dan risiko termasuklah kelemahan dan kekurangan yang terdapat dalam majlis ini. Takdir telah menentukan bahawa ketika kami menguruskan PENA tibalah detik usia jubli emasnya.
Dengan keupayaan dan kemampuan yang terlalu kecil, tanpa modal atau saham, tanpa harta untuk dicagarkan, PENA tidak pernah berhasrat untuk menganjurkan majlis yang sebegini besar. Kami hanyalah sebuah persatuan penulis yang tidak memiliki pendapatan terjamin, tidak menerima sebarang dana bantuan secara tekal, malahan yuran ahli sebanyak RM10 setahun pun tidak terkumpul dengan sempurna. Rumah kerajaan yang kami duduki sebagai pinjaman sangat indah tetapi usianya yang mungkin sudah menghampiri 100 tahun cukup untuk menanti waktu rebahnya. Tidak perlulah saya panjangkan cerita kedaifan kerana penulis sememangnya tidak boleh mati dengan kedaifan; penulis sentiasa hidup bersemangat kerana kami mempunyai satu upaya tersendiri yang memperkukuh kewujudan diri, iaitu mimpi.
Dengan mimpi itulah kami yakin akan dapat menganjurkan majlis sambutan gilang-gemilang pada malam ini. Dengan mimpilah juga kami dapat menghimpunkan penulis dan pelbagai pihak untuk bertemu dengan YAB Perdana Menteri.
Bermula dengan mimpi besar kami tetapi dengan keupayaan yang kecil, akhirnya majlis yang besar ini dapat dilangsungkan.
Sebenarnya majlis ini menjadi besar kerana sokongan dan bantuan pelbagai pihak. Pertamanya tentulah saya sangat bersyukur kepada Allah SWT yang mengizinkan dan memudahkan kerja penganjuran majlis ini. Kita sebagai makhluk tiada daya sama sekali tanpa izin-Nya. Kita hanya merancang, dan Allah juga merancang. Sesungguhnya perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Detik pada malam ini menunjukkan betapa Allah memberikan rahmat-Nya yang wajib kita syukuri.
Kedua, bagi pihak PENA dan rakan penganjur majlis ini, iaitu Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang diwakili oleh Pengarah Urusannya Encik Mohd Khair Ngadiron, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib yang sudi meluangkan masanya untuk hadir dan seterusnya menyempurnakan perasmian majlis serta beberapa upacara yang telah disusun.
Dalam sejarah PENA inilah kali pertama Perdana Menteri hadir ke majlis anjurannya. Terasa betapa besar hikmah daripada kegagalan kami sebelum ini untuk bersama-sama pimpinan negara. Oleh itu, saya pohon hadirin sekalian memberikan tepukan bergemuruh kepada Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib.
Y.A.B. Dato’ Sri dan hadirin yang dihormati,
Saya yakin kehadiran YAB Dato’ Sri akan memberikan kesan yang besar, bukan sahaja kepada PENA, malahan kepada seluruh warga penulis tanah air dan dunia kesusasteraan. Dengan sendirinya kewujudan penulis di negara ini akan terserlah dan disedari oleh segenap lapisan masyarakat. Besar harapan kami selepas ini golongan penulis dan kesusasteraan kebangsan tidak lagi terpinggir dan dipinggirkan sebagai entiti yang kononnya tidak menyumbang kepada pembinaan negara.
Dalam situasi semasa, kedudukan penulis atau sasterawan sering diperlekeh, dipandang rendah dan tidak penting bagi pembangunan negara kerana kononnya sastera bermain dengan dunia mimpi di gelanggang bahasa dan tidak mendatangkan keuntungan material. Persepsi negatif itu bukan sahaja wujud pada sudut pandangan sebahagian besar golongan kapitalis, birokrat, teknokrat, ahli politik, malahan lebih memilukan turut diwarisi oleh pengurus sistem pendidikan di negara ini. Akibatnya, kesusasteraan dipinggirkan, disenyapkan, dibisukan, terutama di sekolah sehingga akhirnya masyarakat awam turut terpengaruh untuk percaya bahawa kesusasteraan tidak penting bagi kehidupan anak mereka.
Sebenarnya kesusasteraan bukan sahaja menterjemahkan perasaan dan imaginasi serta kreativiti penulis untuk hiburan semata-mata, bahkan yang lebih penting kesusasteraan mempunyai keupayaan sebagai alat untuk membina karakter bangsa, mengukuhkan ideologi, dan memartabatkan sesebuah peradaban. Kesusasteraan menjadi tenaga hegemoni untuk mengabsahkan ideologi tertentu kepada masyarakatnya.
Sejak sekian lama hasil kesusasteraan telah membina pemikiran dan budaya sesebuah masyarakat sehingga terbentuklah suatu rupa peradaban yang tersendiri. Sebagai contoh, teks sastera agung Melayu, iaitu Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah secara halus dan hegemonik telah mendidik masyarakat Melayu berabad untuk berfikir dalam kerangka yang dianjurkannya, sama ada secara menyetujuinya mahupun menyanggahnya. Konsep daulat dan derhaka, setia dan patriotik yang tersisip dalam kedua-dua teks tersebut telah berakar dalam pemikiran orang Melayu. Tanpa sebarang tekanan bercorak ketenteraan atau kepolisan masyarakat Melayu sentiasa memikirkan aspek ini dalam tindakan mereka.
Demikian juga halnya dalam konteks kehidupan masa kini, hasil kesusasteraan mampu membentuk pemikiran masyarakat dengan syarat karya tersebut ditulis secara berkesan dan tersebar dengan meluas. Hal ini sangat disedari oleh pemimpin terdahulu, terutama ketika negara menempuh era baharu selepas berlakunya transformasi dan reformasi dalam perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar penting negara, yakni pada tahun 70-an.
Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak sangat akrab dengan dunia kesusasteraan dan ucapannya sering menimbulkan rangsangan baharu kepada perkembangan sastera. Beliau ketika itu berdepan dengan pelbagai tribulasi politik tetapi dengan bijaksananya beliau dapat melihat potensi yang wujud dalam ranah kesusasteraan. Dengan itu, galakan dalam pelbagai bentuk telah diberikannya termasuklah mengiktiraf Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan konsep kesusasteraan kebangsaan.
Era pembangunan pada dekad tersebut bukan sahaja digerakkan melalui Dasar Ekonomi Baharu yang praktis bahkan turut dijana oleh tenaga ideologikal, iaitu kesusasteraan.
Hadirin sekalian,
Apabila saya memperkatakan hal ini saya tidak berniat untuk membuat perbandingan antara YAB Dato Sri Mohd Najib dengan Allahyarham Tun Abdul Razak, tetapi saya mahu menyatakan bahawa sekarang, selepas sekian lama menanti, kami yang berada dalam dunia sastera seolah-olah mendapat nafas semula untuk hidup. Kehadiran YAB Dato’ Sri ke majlis yang dianjurkan oleh orang sastera tidak lain tidak bukan mencerminkan keprihatinannya terhadap dunia sastera.
Kami berharap selepas ini kesusasteraan kebangsaan khususnya akan lebih diperhatikan dan dibawa masuk dalam agenda pembinaan negara bangsa. Kami memohon agar kerajaan dapat memberikan kedudukan yang sewajarnya kepada kesusasteraan dalam sistem pendidikan di negara ini. Tidaklah perlu kita berasa takut untuk menyisipkan dan menggandingkan kesusasteraan dengan bidang-bidang lain dalam perancangan pendidikan kita.
Sebenarnya kesusasteraan bukanlah bandingan atau tandingan dengan bidang sains dan teknologi, ikhtisas dan sebagainya. Berikanlah tumpuan kepada bidang-bidang yang dirasakan perlu untuk kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat. Kami dalam dunia sastera tidak menolak semua itu. Cuma yang kami pinta, kesusasteraan juga jangan dipinggirkan. Kesusasteraan perlu diseiringkan dengan bidang lain. Kesusasteraan dengan sains dan teknologi tidak perlu dipisahkan atau dikotomikan tetapi kedua-duanya saling melengkapi.
Manusia yang diasak dengan ilmu praktis akan menjadi lebih manusiawi dengan bantuan kesusasteraan. Negara yang maju tidak akan terjejas jika kesusasteraan juga dimartabatkan, malahan negara yang maju dari segi pembangunan kebendaan akan lebih mantap jati dirinya apabila ada tenaga lain diserapkannya ke dalamnya. Tenaga lain itu wujud dalam kesusasteraan.
Kami yakin, kebijaksanaan kerajaan memperkenalkan pelbagai program transformasi sekarang tidak menyukarkannya untuk turut sama memikirkan kaedah transformasi juga dalam sistem pendidikan yang menerapkan kesusasteraan sebagai satu daripada pasak penting demi membina sebuah peradaban yang besar.
YAB Dato Sri dan hadirin yang dikasihi,
Selain menyambut ulang tahun ke-50 PENA majlis ini turut meraikan satu acara dwitahunan PENA yang sudah bermula sejak tahun 2005, iaitu Perhimpunan Penulis Muda Nasional. Perhimpunan ini mempertemukan penulis muda dari seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak. Mereka sentiasa datang dalam setiap acara yang kami adakan tanpa mendapat pembiayaan tambang. Malahan mereka terpaksa membayar sedikit yuran penyertaan bagi membantu kami meringankan kos operasi. Tidak seperti penganjuran acara lain yang lebih popular dan politikal, perhimpunan yang kami adakan ini berlangsung dengan cara yang tersendiri.
Kehadiran penulis muda ini mencerminkan kejituan semangat mereka dalam perjuangan melestarikan kesusasteraan. Mereka akan berdialog, berwacana, dan menyuarakan pandangan serta merancang strategi untuk membangunkan negara dalam cara dan aspek yang tersendiri. Kami hanya memberikan ruang kepada mereka untuk bersuara dan dengan cara itu kami yakin potensi yang ada dalam diri anak muda ini akan dapat disuburkan dan kemudian akan tumbuh merendangi dan menaungi kehidupan masyarakat.
Kami telah mengadakan perhimpunan yang pertama pada tahun 2005 di Johor, yang kedua pada tahun 2009 di Melaka, dan kini yang ketiga. Dalam ketiga-tiga pertemuan itu telah dikeluarkan resolusi yang berkaitan dengan kebudayaan, kesusasteraan, pendidikan, dan kebahasaan. Resolusi itu jelmaan aspirasi orang muda tetapi muatannya bukanlah tentang kepentingan bagi orang muda semata-mata. Mereka telah memberikan fikiran yang bermutu untuk diperhatikan oleh kerajaan khususnya demi membangunkan negara ini sebagai sebuah ranah peradaban yang hebat.
Kami sangat berbesar hati kerana pada kali ini YAB Perdana Menteri telah menterjemahkan idea transformasinya dalam bentuk yang praktis, yakni dengan turun ke gelanggang orang muda. Percayalah, gelanggang orang muda ini sarat dengan ilmu dan kepercayaan yang sangat penting untuk negara.
Selepas ini terpulanglah kepada YAB Dato’ Sri untuk bercakap tentang apa sahaja kepada kami warga sastera amnya dan kepada penulis muda khususnya. Saya tidak mahu membuat ramalan apa-apa, tetapi dalam hati saya berkata: biarlah yang baik untuk dunia kesusasteraan kebangsaan demi kelangsungan generasi berperadaban.
Tema sambutan ulang tahun PENA ke-50 ialah “Penulis Penjana Transformasi Peradaban” dan tema bagi Perhimpunan Penulis Muda Nasional ialah “Pengukuhan Makna Diri Pengarang Muda”. Tema ini tidak kosong tetapi terisi aspirasi dan ideologi yang besar dan penting. Sama-samalah kita mentafsirkannya dengan akal yang jernih dan tanpa gangguan persepsi negatif.
YAB Dato Sri dan hadirin yang dihormati,
Lazimnya apabila sampai detik 50 tahun ini satu sambutan diadakan bagi tujuan menilai pencapaian, memuhasabah diri, merenung masa depan, serta tidak kurang juga menghargai sumbangan tokoh-tokoh yang terdahulu. Itulah juga yang cuba kami lakukan sempena sambutan 50 tahun PENA. Di samping menilai diri dan merancang strategi masa depan, buat julung-julung kalinya PENA dalam usianya 50 tahun ini mewujudkan satu anugerah yang dinamai Anugerah Tokoh PENA.
Tanpa menafikan sumbangan tokoh-tokoh lain, terutamanya mantan-mantan ketua satu PENA yang sebahagiannya hadir pada malam ini, kami telah memilih seorang tokoh untuk menerimanya, iaitu Datuk Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain.
Kami yakin pemilihan Baha Zain adalah tepat. Beliau telah begitu lama bersama PENA tetapi hanya pada tahun 2008 bersedia memikul tanggungjawab sebagai presiden sehinggalah 2010.
Biarpun tidak lagi memimpin PENA, kami sentiasa berdamping dengan beliau untuk meminta nasihat, dan beliau juga sentiasa ghairah untuk menghulurkan pandangan. Begitulah akrabnya Baha dengan PENA sehingga namanya sinonim dengan PENA. Kini, bagi kebanyakan orang yang mengikuti perkembangan PENA menyifatkan PENA ialah Baha Zain dan Baha Zain ialah PENA.
Walaupun hadiah yang mengiringi anugerah ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan anugerah dalam bidang sukan dan hiburan, muatan maknanya terlalu besar. Kami yang sangat terbatas kemampuannya ini hanya mampu memberikan sekadar yang termampu walaupun makna yang kami hamparkan setinggi Himalaya. Terima kasih sekali lagi kepada YAB Dato Sri Mohd Najib atas kesudiannya nanti menyampaikan anugerah tersebut.
Hadirin sekalian,
Rasanya cukuplah ucapan saya setakat ini kerana yang lebih dalam majlis ini ialah ucapan YAB Dato Sri Mohd Najib. Ucapan saya tidak akan ke mana-mana perginya. Sebelum saya mengundurkan diri saya ingin menyampaikan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada beberapa pihak yang telah bersama-sama membantu kami menjayakan majlis. Pertamanya tentu sahaja kepada YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana sudi hadir serta membesarkan majlis ini. Percayalah, sejarah ini terakam sampai bila-bila dalam ingatan warga sastera. Tetapi akan lebih diingati sekiranya YAB Dato Sri sudi memberikan sesuatu yang berharga kepada dunia kesusasteraan, ibarat pantun ini:
Daun terap atas bukit,
Buat tudung buah pala;
Harap saya bukan sedikit,
Sama banyak rambut di kepala.
Terima kasih tidak terhingga kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia, khususnya Encik Khair Ngadiron yang menjadi pasak utama dalam penganjuran majlis besar ini. Tanpa ITNM kami hanya dapat bermimpi agaknya untuk melihat peristiwa ini.
Kami juga sangat berterima kasih kepada Percetakan Nasional Malaysia Berhad yang telah memberikan penajaan termasuk mencetak tiga buah buku yang akan dilancarkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib sebentar lagi.
Pihak-pihak lain juga sangat kami hargai atas sumbangan mereka, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, penaja yang menghulurkan sumbangan, rakan media yang membuat liputan, orang perseorangan yang memberikan nasihat dan semangat, serta pihak-pihak lain yang terlalu banyak. Secara peribadi saya sangat berterima kasih kepada barisan jawatankuasa yang menjayakan majlis ini baik daripada warga PENA mahupun daripada warga Institut Terjemahan Negara Malaysia. Jasa semua pihak sentiasa terakam dan tumbuh membesar dalam hati.
Hanyut kayu dari bukit,
Dari gunung berkati-kati;
Segunung budi bukan sedikit,
Tidak tertanggung sampai ke mati.
Khamis, 15 Disember 2011
Selamat Datang Ke PPMN III
Pendaftaran bermula jam 9.00 pagi, bertempat di Akademi Kenegaraan, Biro Tatanegara, Jalan Bellamy, Bukit Petaling, Kuala Lumpur.
Pastikan anda membawa pakaian yang secukupnya, keperluan ibadah dan minda tenang.
Dipaparkan beberapa foto semasa persediaan PPMN III.
Antara makalah yang tidak sempat dibukukan
Buku yang terbit sempena PPMN III
Sijil untuk peserta
Selebihnya, alaminya sendiri. Berjumpa di PPMN III!
Jumaat, 9 Disember 2011
Tarikh Pendaftaran PPMN III 2011 Dilanjutkan lagi!
Berikutan sambutan yang memberangsangkan serta promosi yang semakin hangat, Panitia Penganjur melanjutkan lagi tarikh pendaftaran selama 3 hari.
Tarikh akhir pendaftaran Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) III ditetapkan pada 13 Disember 2011 (Selasa) sebelum jam 2359hrs.
Kepada peserta yang telah mendaftar secara atas talian, satu emel informasi PENDAFTARAN & MAKLUMAT PENGINAPAN akan dihantar pada hari Rabu - 14 Disember 2011 bermula jam 10.00 pagi.
Tarikh akhir pendaftaran Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) III ditetapkan pada 13 Disember 2011 (Selasa) sebelum jam 2359hrs.
Kepada peserta yang telah mendaftar secara atas talian, satu emel informasi PENDAFTARAN & MAKLUMAT PENGINAPAN akan dihantar pada hari Rabu - 14 Disember 2011 bermula jam 10.00 pagi.
Sabtu, 26 November 2011
Majlis Makan Malam 50 Tahun PENA
Majlis Makan Malam 50 Tahun PENA
bersama YAB Perdana Menteri Malaysia
***
INFO
Tarikh : 16 Disember 2011 (Jumaat)
Masa : 8.00 - 10.00 malam
Tempat : Hotel Intercontinental, Jalan Ampang, Kuala Lumpur
Pakaian : Batik / Kemas
Bayaran : # Peserta PPMN III 2011 - wajib hadir (tidak perlu mendaftar)
# Ahli PENA - PERCUMA (wajib mendaftar)
# Bukan Ahli PENA - RM150/seorang (wajib mendaftar)
Daftar DISINI!
Isnin, 14 November 2011
Tarikh Pendaftaran PPMN III 2011 Dilanjutkan!
Tarikh pendaftaran Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) III 2011 telah dilanjutkan ke tarikh
10 Disember 2011. Pendaftaran secara atas talian boleh dilakukan sebelum jam 2359hrs.
10 Disember 2011. Pendaftaran secara atas talian boleh dilakukan sebelum jam 2359hrs.
Ahad, 16 Oktober 2011
BORANG PENYERTAAN PPMN III 2011
Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN)III 2011 akan diadakan di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 Disember 2011 dengan tema "Pengukuhan Makna Diri Pengarang Muda"
Program terbuka untuk penulis, penggemar sastera dan khalayak awam. Bayaran penyertaan minimum. Maklumat lanjut dan pendaftaran secara dalam talian boleh dilakukan di sini --> DAFTAR
TIDAK KIRA USIA REMAJA ATAU 'SENJA'
TIDAK TERTAKLUK HANYA YANG MUDA
KERANA TANPA REMAJA KITA TAKKAN DEWASA
TANPA MELALUI ZAMAN MUDA TAKKAN MENGINJAK TUA
DAN TITIK-TITIK INI KITA LALUI SEBELUM NOKTAH TERAKHIR
WALAU DI MANA ZAMAN USIA KITA...
AYUH KITA RAPATKAN SILATURRAHMI
BERTEMU KITA NANTI
DI AKADEMI KENEGARAAN
DI MUSIM TENGKUJUH TAHUN INI!
Isnin, 10 Oktober 2011
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
PERSATUAN PENULIS NASIONAL MALAYSIA (PENA)
off Jalan Dewan Bahasa
50460 Kuala Lumpur
Malaysia.
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) ditubuhkan pada 12 Febuari 1961 di Dewan Kuliah A, Universiti Malaya,Kuala Lumpur. Pengasasnya ialah A. Samad Ismail, Kamaluddin Muhammad, Said Zahari, Asyraf Hj Wahab, S.Husin Ali, Usman Awang dan Ali Haji Ahmad.
Apabila pendaftarannya disahkan oleh kerajaan pada 2 September 1962, maka bermulalah pergerakan sebuah persatuan penulis peringkat nasional yang sangat penting di Malaysia; lima tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Tetapi kelahiran PENA sesungguhnya, tidak dapat dipisahkan langsung daripada soal kemerdekaan, baik sebelum mahupun selepas hari merdeka itu.
Gerakan intelektual Melayu,terutama yang berhubung dengan persuratan dan kebudayaan Melayulah yang telah menanamkan benih dan member pengarahan kepada semangat dan cita-cita Melayu bagi memperjuangkan isu kemerdekaan.
Alat utama yang digunakan oleh golongan intelektual ini ialah akhbar. Malah semenjak pemerintahan Jepun lagi, sebagai gelanggang mengajukan semangat terhadap Jepun.
Utusan Melayu yang terbit di Singapura selepas pemerintahan Jepun, banyak sekali berbeza, dari segi isi dan tujuannya, daripada Utusan Melayu sebelum itu. Tenaga penggerak di jabatan pengarangnya bukan cuma orang-orang muda, akan tetapi orang-orang muda yang telah merasakan betapa seksa dan terdesaknya hidup pada zaman Jepun. Mereka ini seperti Ishak Haji Muhammad, A. Samad Ismail. Dahari Ali, dan Said Zahari, menjadi “matang politik” dengan kejayaan perjuangan kemerdekaan di Indonesia dan mula mengkonsepsikan sebuah Malaya Merdeka.
Hanya akhbarlah media massa yang dimiliki dan dikendalikan oleh pihak swasta. Oleh kerana sifat dan strukturnya yang agak bebas, kandungan dan tujuannya dapat dicorakkan supaya menjadi bukan sahaja penyampai berita yang boleh “mendidik” pemikiran rakyat, tetapi boleh jugamenanam serta menyebarkan semangat menentang penjajahan. Utusan Melayu selepas perang telah menjadi media ungkap utama dalam soal menggalakkan orang-orang Melayu bersatu tenaga dalam pergerakan politik mereka.
Oleh kerana “kentalnya” semangat perasaan anti penjajah, pengarang dan wartawan-wartawan di Utusan Melayu ketika itu, di samping berita, menggunakan bidang kreatif memberikan poetic licence, justeru skop yang amat luas bagi sang penulis membakar semangat antipenjajahan tanpa terlalu diawasi dan dikesani oleh pemerintah pada waktu itu.
Isu Malayan Union menjadi katalis yang menubuhkan UMNO dan Utusan Melayu jugalah media ungkap yang membantu mengukuh dan menyemarakkan pergerakan UMNO zaman awal itu.
Memang ada penulis-penulis di Semenanjung Tanah Melayu waktu sesudah perang yang menubuhkan persatuan-persatuan penulis dengan tujuan mengeratkan ikatan persaudaraan demi memajukan bidang mereka. Akan tetapi penubuhan persatusan atau ikatan penulis di Singapuralah, terutamanya ASAS 50 di pusat penerbitan itu telah banyak membantu memberikan kewibawaan kepada ASAS 50.
Persoalan-persoalan utama dalam karya kreatif para penyokong ASAS 50 itu adalah kesempitan hidup golongan pekerja dan buruh kasar di kota raya Singapura. Para pekerja ini adalah penghijrah dari desa ke kota yang bukan sahaja harus mencari apa sahaja kerja yang sesuai dengan tahap pendidikan dan kebolehan mereka, tetapi juga harus menghadapi kejutan-kejutan budaya kota yang cara hidupnya sangat berbeza daripada gaya hidup di desa-desa. Persoalan inilah yang terpancar dalam kebanyakan tulisan ahli-ahli ASAS 50 untuk mengarahkan pergerakan itu bagi memperjuangkan kemerdekaan politik, mendaulatkan bhasa Melayu sebagai bahasa ligua franca, dan mempertingkatkan prestasi kesusasteraan dan budaya Melayu.
Empat memorandum yang dikemukakan oleh ASAS 50 kepada pemerintah dan satu lagi kepada Kongres Bahasa dan Persatuan Melayu Ketiga yang diadakan di Singapura dan Johor Bahru pada 16 hingga 21 September 1956 mencerminkan kejituan pemikiran intelektual dalam zaman-zaman awal proses pembinaan negara (nation-building). Memorandum-memorandum tersebut ialah:-
I. Memorandum kepada Suruhanjaya Perlembagaan Rendell;
II. Memorandum mengenai tulisan rumi untuk Bahasa Melayu;
III. Memorandum mengenai Penyata Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu 1956;
IV. Memorandum kepada kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, mengenai pembentukan Dewan Bahasa dan Pustaka, penyatuan Bahasa Melayu dan Indonesia,peranan bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah dan Perlembagaan bahasa Melayu sekarang dan akan datang.
Dalam memorandum kepada Suruhanjaya Perlembagaan Rendell, Suruhanjaya yang bertanggungjawab bagi menggubal Perlembagaan Melayu yang berpemerintahan sendiri, ASAS 50 menggesa supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa perantaraan bagi negara Melayu baru (termasuk Singapura) dan diajar sebagai bahasa Kedua di semua sekolah dan pusat-pusat pembelajaran dan pengajaran. Tetapi di samping soal bahasa,ASAS 50 menyinggung soal pembangunan ekonomi dan pentingnya setiap kaum menikmati kemakmuran dan kemajuan ekonomi yang sama rata.
Katanya : “Sebenarnya perpaduan politik lebih bergantung kepada kemajuan kepentingan ekonomi yang sama di antara kaum-kaum yang berbeza dalam bahasa-bahasa mereka yang mendiami satu-satu kawasan dan tidaklah hanya bergantung kepada pelaksanaan satu bahasa yang sama semata-mata di antara penduduka-penduduk itu.
“Pada masa ini persamaan kepentingan-kepentingan ekonomi ini tidak ada di Malaya. Pembahagian-pembahagian kelas dalam masyarakat Malaya kebanyakannya sama dengan pembahagian-pembahagian perkauman. Yang demikian kami percaya bahawa Perlembagaan yang akan datang Hendaklah mengandungi beberapa syarat yang tertentu untuk menjamin kemajuan ekonomi, pelajaran dan kebudayaan yang sama di antara ketiga-tiga kaum yang yang besar di Malaya, dengan tujuan untuk menghilangkan sebab musabab ekonomi yang telah melahirkan perkauman di negeri ini. “Kami percaya bahawa dengan tercapainya kepentingan-kepentingan politik dan ekonomi yang sama dan dengan adanya keadaan-keadaan yang sama dan taraf hidup yang sama untuk kaum di negeri ini, maka perkauman dan kebudayaan negeri ini juga akan hilang, kerana keadaan material akan wujud di saat itu untuk kemajuan dan perkembangan satu kebudayaan yang sama di antara penduduk-penduduknya.”
(Lihat Memoranda, Angkatan Sasterawan 50, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1962, hal 7-8)
Seketeriat Perhimpunan Penulis Muda Nasional
Langgan:
Catatan (Atom)